Powered By Blogger

Wednesday, August 18, 2010

Dibantu oleh...

Inilah Yana atau Nur Aliana Adzreen, nama sebenarnya. Setakat 'pemulihan semula' kedai, Yanalah yang menjadi pembantu setia yang mengoperasi Galeri Percha sehingga dapat dibangunkan semula tanpa ada sebarang masalah yang menyulitkan. Yana merupakan seorang assistant yang dedikasi, mesra dan mudah dibawa berunding. Dia juga mempunyai ide-ide yang bernas dalam hal-hal perniagaan sehinggalah kepada mendekorasi kedai dan pemilihan barang-barang.
Yana bukan calang-calang pembantu. Dia juga mendapat didikan formal seni di Universiti Teknologi Mara, Perak. Sebelum itu, anak kepada pengusaha dobi ini menamatkan persekolahannya di Sekolah Menengah Seri Manjung. Tidak banyak yang dapat diselongkar daripada si Yana ni sebab dia sangat-sangat susah untuk membongkar rahsia peribadinya. Cuma katanya..., "Jika anda datang ke Galeri Percha amatlah tidak rugi kerana Yana akan memberi layanan yang cukup istimewa kepada setiap pelanggan...hehe".

Friday, July 16, 2010

Empunya..


Ini Suhaila Hashim, pemilik Galeri Percha. Dilahirkan di Pulau Pinang dan dibesarkan di Shah Alam, Selangor sehinggalah memasuki Institut Teknologi MARA (ITM) (sekarang UITM), Shah Alam dalam jurusan Seni Halus pada tahun 1993 hingga 1997. Menamatkan pengajian dengan mendapat Ijazah Am Seni Halus, beliau lantas melanjutkan pelajaran sehingga mendapat Ijazah Kepujian Seni Halus pada tahun 2002, di kampus sama. Mengambil catan sebagai majoring semasa di ITM, beliau memasukkan budaya dan tradisi di dalam kebanyakan catan dan hasil seninya.
Selain catan, Suhaila juga minat dalam penghasilan kraftangan dan dekorasi. Di antara hasil-hasil krafnya adalah seperti handmade cards yang memaparkan pakaian-pakaian tradisional rakyat Malaysia, beg-beg daripada kain, table-runner, japanese curtain, kemeja t, kraf-kraf moden dan sebagainya, yang kebanyakannya menggunakan kain-kain perca sebagai tampalan dekorasinya ala patch-work. Selain daripada itu, beliau juga ada menghasilkan batik di masa lapang.
Mengambil kain percha sebagai sumber inspirasi dalam memberi nama galeri krafnya, Suhaila sentiasa peka kepada perkembangan semasa sama ada dalam seni, kraf dan fesyen agar aliran hasil kerjanya tidak lari daripada arus sezaman.
Dalam bidang seni, Suhaila pernah memenangi Anugerah Perdana Bakat Muda Sezaman dengan hasil seni bertajuk 'On-Air', sebuah kolaberasi seni bersama suaminya, juga seorang seniman muda tanah air dan pensyarah, Noor Azizan Rahman Paiman. Namun begitu, selepas kemenangannya bersama suami, beliau sepi seketika dari dunia seni kerana menumpukan perhatian kepada urusan keluarga dan kembali membuat pameran berkumpulan bersama tiga orang artis muda yang tak kurang hebat iaitu Hasrul Mazran, Farizal dan Izzal dalam pameran seni Simpang Ampat (mengambil nama kumpulan) di Rumah Seni Pelita Hati, Bangsar pada tahun 2009.
Kini, selepas kematian bapanya Dato' Hashim Embi pada Februari lepas, Suhaila kembali menerajui kedai miliknya setelah hampir setahun meninggalkannya kepada urusan seorang kenalan kerana menjaga bapanya yang sakit ketika itu.
Galeri Percha kini mempunyai seorang pembantu, Nur Aliana Adzreen atau lebih dikenali sebagai Yana, yang berpengalaman dalam kedua-dua bidang seni dan perniagaan. Bersama Yana, Suhaila bergerak lebih pantas. Beliau mengatur berbagai-bagai rencana yang telah dan akan dilaksanakan di Galeri Percha. Blog ini ialah di antara perancangan yang telah menjadi kenyataan. Dengan blog Galeri Percha ini, Suhaila berharap agar galeri kraf kesayangannya akan lebih dikenali dan akan berkembang menjadi sebuah kedai kraf pilihan bagi pengunjung-pengunjung dan para pelancong yang pernah dan akan menjejakkan kaki ke Lumut dan Pulau Pangkor.
Suhaila mengucapkan Selamat Berkenalan dan Selamat Datang kepada anda semua.

Friday, April 16, 2010

SELAMAT DATANG DAN SALAM PERKENALAN

Selamat datang ke blog Galeri Percha yang baru saja direka khas untuk anda, pengunjung dan peminat kedai kami. Mungkin anda salah seorang pelanggan kami yang setia atau mungkin juga anda pernah mendengar tentang kewujudan kedai kami atau mungkin baru pertama kali ini anda mengetahui tentangnya...kami Galeri Percha Team mengucapkan Salam Perkenalan dan selamat melayari cerita-cerita dan pengalaman kami di laman virtual ini.